24 May 2012

Tamakkah Saya.


 Di rak buku rumah saya masih lagi ada beberapa buah buku yang belum dibaca oleh saya. Hanya sekadar dibelek-belek, membaca sinopsis di belakang kulit buku tersebut. Adalah dalam belasan buah buku lagi. Di GRMY pun saya letakkan buku-buku tersebut di dalam bookshelf  - to read.

Petang semalam hati saya tergerak rasa untuk ke Kedai Buku Fajar Ilmu Baru, Tingkat 2 Wisma Yakin, sambil-sambil menunggu encik suami habis waktu bekerja. Selalunya bila gaji sudah masuk saya sudah asingkan  beberapa ringgit untuk membeli buku. Cukup dua atau tiga buah buku bagi sebulan (kadangkala susah betul nak disiplinkan diri). 

Petang semalam saya dapatkan buku-buku yang berada di wishlist saya di GRMY. Antaranya ialah berjudul Di Hamparan Shamrock - Kuseru Namamu oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Travelog Minda Tajdid - Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat oleh Ustaz Mohd Asri bin Zainul Abidin dan Sebuah Buku Indonesia, Hafalan Shalat Delisa oleh Tere Liye.

 


 Antara buku-buku travelog atau catatan perjalan yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal sebelum ini yang menjadi bacaan saya ialah Travelog Tarbiah : Rindu Bau Pohon Tin dan Secangkir Teh Pengubat Letih. Kedua-dua buku tersebut membawa kita untuk mengenali sedikit sebanyak berkenaan Bumi Ataturk iaitu Turki dan juga pengalaman  beliau menuntut ilmu di Jordan.

Kali ini melalui buku Di Hamparan Shamrock Kuseru NamaMu, Ustaz membawa kita menjelajah ke London, Belfast, Galway dan seluruh pelosok United Kingdom melalui catatan perjalanan beliau di sana.
Pada saya buku-buku travelog Ustaz Hasrizal yang sebelum ini tidak menghampakan pembaca. Ayuh, mengembara melalui buku.


 Travelog Minda Tajdid ini merupakan buku pertama karangan Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin yang saya baca. Ia juga merupakan catatan perjalanan beliau ke Lampeter di United Kingdom setelah tamat menjadi Mufti negeri Perlis. Sinopsis bagi travelog beliau bolehlah dibaca di sini.




Antara karya lain Tere Liye yang telah saya baca ialah  Pukat, Burlian, Bidadari-Bidadari Syurga, Moga Bonda disayang Allah dan Rembulan Tenggelam Diwajahmu.  Karya Hafalan Shalat Delisa ini telah difilemkan dan telah ditayangkan di Astro. Ceritanya memang membuatkan mata saya tidak kering dek penangan ketabahan kanak-kanak yang bernama Delisa yang kehilangan ibu, kakak-kakaknya dan juga sebelah kakinya disebabkan bencana Tsunami melanda ketika dia sedang menjalani amali bacaan solat di sekolah. 
Di pesta buku yang baru selesai awal bulan Mei, saya telah membeli buku ini  yang telah diterjemah ke Bahasa Melayu di booth PTS. Sebelum pada itu saya telah mencari buku tersebut di dalam bahasa asal di Fajar Ilmu Baru tetapi pada masa itu buku ini masih belum sampai. Apabila semalam saya ternampak buku ini di dalam karya asal, saya terus dapatkannya. Sinopsis serta komen-komen dari mereka yang telah membaca buku ini bolehlah di baca di sini.


2 comments:

Mak Su said...

kalau dah minat, tak kesah berhabis, lagipun membaca buku adalah jambatan ilmu. bacalah buku yang seswai ngan minat :)

kan ?

:D

ns said...

> Maksu - Betul tu maksu. Membaca Jambatan Ilmu.