24 May 2012

Sehingga Mei.


2012 Reading Challenge

Dua tiga menjak ini aktiviti membaca saya banyak terganggu. Entah macam mana bulan Lima sehingga Jun ini banyak pulak aktiviti kelab sukan Jabatan. Bermula dengan perlawanan bowling jemputan dari pihak konsultan, seterusnya ke futsal piala Tn KP. Dan antara aktiviti yang akan menyusul  ialah bowling jabatan, bola tampar dan juga bowling Kementerian. Itu belum termasuk jemputan kenduri kahwin dari  jiran-jiran dan saudara mara. Semuanya haruslah menghadirkan diri.

Sehingga akhir bulan lima ini saya baru selesai mengulit lima belas buah buku.Tiga buah buku saya ketinggalan di belakang untuk mencapai sasaran 50 buah buku pada tahun ni. Biarpun bukan kuantiti yang saya kejar, tetapi lebih kepada mencabar diri sendiri untuk mencapai sasaran tersebut. Mungkin pada tahun hadapan saya perlu turunkan sasaran saya  hanya kepada 30 buah buku sahaja untuk setahun.

Walauapapun, semua aktivi tersebut bukanlah alasan untuk saya tidak meneruskan minat dan hobi saya untuk membaca. Satu atau dua buah buku (yang nipis) tetap ada di dalam beg tangan saya sepanjang masa.Tetap saya usung ke sana ke sini. Saya tetap menjadi peneman dan pendengar suami bercerita di dalam kereta semasa pulang dari kerja, walaupun kadang-kadang diri saya telah berada di dalam buku yang sedang saya baca.

Malam tadi saya selesai menghabiskan karya Saudara Faisal Tehrani yang bertajuk KARBALA. Jikalau saya tidak membaca buku ini, terus terang diri saya masih samar-samar dengan peristiwa yang terjadi di padang pasir Karbala ini.

Karbala

Kisah Karbala ini adalah peristiwa pembunuhan cucu Nabi Muhammad saw iaitu Saidina Husein, putera kepada Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina  Fatimah. Antara lain yang turut terkorban ialah dua orang anak Saidina Husein iaitu Ali Akbar dan Ali Asghar serta 72 keluarga ahli rombongan dan juga para sahabat.( di mana sesetengah riwayat kurang dari 100).

Kisah ini bermula apabila beberapa tokoh dari Kufah, Iraq menulis surat kepada Saidina Husein supaya datang ke Kufah bagi memimpin masyarakat  bagi menentang pemerintahan zalim Kufah yang pada masa itu dipimpim oleh Yazid bin Muawiyah.

Saidina Husein telah bergerak bersama ahli keluarga dan para sahabat rapatnya ke Kufah dan rombonganya telah dihalang oleh pasukan tentera penguasa Yazid  untuk memasuki kota Kufah. Rombongan Saidina Husein telah dikepong tidak jauh dari Sungai Furat di kawasan gurun pasir Karbala pada 2 Muharram tahun 60 Hijrah.Kemuncaknya ialah pada 10 Muharram hari asyura di mana cucunda Rasulullah, Saidina Husein telah dipancung dan tubuhnya dihinjak-hinjak secara kejam sehingga hancur jasadnya.

Bagi negara islam yang disebutkan oleh penulis di dalam buku ini seperti Pakistan, Iraq, Yaman, Kuwait, Bahrain dan Lubnan, tragedi Karbala ini tidak pernah mereka lupakan dan telah menjadi sebahagian kebudayaan rakyatnya. Ta'ziyah adalah sebuah drama rakyat yang akan dipentaskan bagi mengenang kembali kisah pembunuhan yang menimpa ahlul bait atau keluarga Rasulullah ini. Mungkin juga cara memperingati kisah tersebut bergantung kepada fahaman masing-masing. Apa pun buku ini adalah menarik untuk kita mengetahui serba sedikit mengenai peristiwa/kisah berkaitan Karbala.


No comments: