Nasihat Imam Al-Ghazali Dalam Kitab Ihya' Ulumiddin.
Wahai diri yang malang...
Perhatikanlah, betapa banyaknya orang yang sedang bergembira menyambut datangnya hari yang baru dalam hidupnya, tetapi malangnya dia tidak sempat mengakhiri hari berkenaan..
Dan alangkah ramainya orang yang berangan-angan hendak bertemu hari esok, tetapi dia pergi lebih awal meninggalkan dunia itu sebelum hari yang ditunggunya itu tiba..
Engkau lihat sendiri dengan mata kepalamu peristiwa itu berlaku di kalangan ahli keluargamu, kaum kerabatmu, saudara maramu, jiran tetanggamu, dan kenalanmu. Engkau juga dapat melihat dengan jelas kesalan yang amat ketara di wajah mereka di kala didatangi maut. Tetapi sayangnya, engkau tidak mahu insaf melihat segala-galanya itu..
Insaflah wahai diri yang malang terhadap satu hari di mana Allah telah bersumpah bahawa demi dirinya, setiap hambanya yang telah diberitahu tentang suruhan dan laranganNya semasa hidup di dunia pasti akan disoal tentang amal perbuatannya sama ada kecil atau besar, yang terang ataupun yang tersembunyi..
Renungkanlah nasibmu ketika itu masih tampan dan jelitakah wajahmu masa berdiri di hadapan Allah untuk dibicarakan nanti, bagaimana agaknya gerak lidahmu menjawab segala soalan yang dikemukakan nanti. Oleh itu, sediakanlah jawapan yang tepat dan betul dari sekarang..
Gunakanlah sisa umurmu yang tinggal untuk beramal, manfaatkanlah hari yang pendek di dunia ini untuk menghadapi hari yang panjang di akhirat. Usaha yang dilakukan di negeri yang fana ini untuk bekal hidup yang kekal abadi. Dan kesempatan di negeri kesusahan dan kesedihan untuk modal di negeri kesenangan yang berkekalan..
Beramallah sebelum peluang untukmu tertutup. Keluarkan dirimu dari dunia ini secara sukarela sebelum engkau ditarik keluar secara paksa..
Jangan bergembira dengan mencurah turunnya nikmat atas engkau. Orang yang bergembira akan tertipu. Orang yang tertipu akan lupa daratan..
Celakalah orang yang bergembira sedangkan ia akan menjadi bahan bakar api neraka..Nauzubillah..
1 comment:
hati yang hidup ialah hati yang sentiasa mengingati mati...
Post a Comment